Alhamdulillah, akhbar mingguan iLuvislam(edisi pengenalan) telah pun siap dicetak. Akhbar setebal 40 muka surat dengan kertas berkualiti dan berwarna-warni, memaparkan isu kontemporari Islamik, dalam negara, luar negara dan pelbagai lagi kisah yang umat Islam dan bukan Islam. Ia sepatutnya dijadikan koleksi mingguan kita semua dalam usaha mencari cinta; cinta yang sempurna.
InsyaAllah ia boleh didapati di pasaran bermula esok pagi dan akan sepenuhnya berada di pasaran pada hari Isnin. Menurut sumber, di mana ada jual akhbar Sinar Harian, di situ juga ada jual akhbar iLuvislam.
Mengikut perancangan pihak pengurusan, insyaAllah akhbar ini akan dirasmikan pada 19 Disember 2009. Team event iLuvislam.com Malaysia bersama-sama Kumpulan Karangkraf Sdn. Bhd. (KKSB) akan menganjurkan sebuah aktiviti istimewa sempena majlis pelancaran tersebut.
Edisi pertama (01) akhbar majalah ini akan bermula pada 1 Januari 2010, setiap hari Jumaat, dijual dengan harga RM2.00.
Dikesempatan ini, saya mewakili pihak pengurusan iLuvislam.com dan krew-krew iLuvislam.com, ingin mengucapkan jutaan penghargaan dan terima kasih kepada CEO/Group Managing Director KKSB, Dato' Hussamuddin Yaacub, pihak pengurusan KKSB terutamanya Kak Fir (Penerbit Eksekutif), Abang Nong (Pengurus Perancangan Korporat), Abang Afif (Pengurus New Media), Abang RJ (Pengurus Pemasaran Jenama), Kak Salina (Managing Editor), Kak Fouziah (editor akhbar iLuvislam) dan semua individu yang terlibat dalam menjayakan penerbitan akhbar ini.
Terima kasih dan tahniah kerana berjaya menukarkan suatu mimpi menjadi realiti.
InsyaAllah, kita sama-sama doakan agar usaha sederhana dalam merancakkan lagi media islamik di Malaysia, akan diberkati oleh Allah SWT.
Syurga Firdaus bukan mudah untuk dimasuki. Namun, itulah visi jangka panjang kami dan kita semua sepatutnya. Mari kita sama-sama muhasabah, apakah usaha dan komitmen yang kita lakukan untuk mencapainya.
Jangan berlengah lagi, pastikan akhbar iLuvislam menjadi pilihan mingguan anda. Dapatkan edisi pengenalannya di pasaran dengan hanya RM 1! Pelaburan anda pasti berbaloi!

Muktahir ini masalah dan isu pendermaan organ manusia menjadi perbualan dan perbincangan di kalangan pelbagai kaum dan bangsa di Malaysia serta bermacam-macam kempen, program dan usaha yang dilaksanakan oleh pihak-pihak dan badan-badan tertentu untuk menggalakkan pendermaan organ demi memberi harapan hidup kepada golongan yang memerlukan. Saya rasa terpanggil untuk melihat perkara ini menurut sudut perspektif yang berbeza iaitu melalui perspektif Islam dan syarak berdalil Al-Quran, hadith Nabi Muhammad s.a.w, kaedah-kaedah fiqhiyyah dan pandangan para ulama Islam dalam persoalan semasa ini.
Jika kita selusuri secara kasar, kita akan mendapati seolah-olah masalah ini tidak berlaku perbincangan (perbahasan) di kalangan para fuqaha dahulu tetapi hakikatnya para ulama dahulu tidak membincangkan hal tersebut secara jelas. Perbincangan mereka dalam masalah berkaitan dengan organ hanya berkisar sekitar perkara yang mereka andaikan akan terjadi (fiqh taqdiry) seperti makan jasad manusia ketika darurah, potong anggota badan yang dihinggapi penyakit berjangkit, rawatan menyambung tulang yang patah, belah perut ibu yang sudah meninggal bagi mengeluarkan bayi dalam kandungan atau harta yang ditelan semasa hidup, rawatan luka menggunakan tulang manusia dan penjualan rambut anak Adam. Walaupun begitu, asas dan panduan yang mereka tinggalkan daripada perbincangan mereka yang lalu dijadikan rujukan dan garis panduan para ulama dan cendiakiawan Muslim masa kini untuk menentukan hukuman pemindahan dan pendermaan organ serta keharusan perkara demi kemaslahatan dan kebahagiaan untuk individu lain.
Firman Allah s.w.t dalam Surah Al-Baqarah ayat 195:
“Dan janganlah kamu menjatuhkan (mencampakkan) dirimu sendiri ke dalam kebinasaan”.
Ayat ini jelas melarang manusia Muslim melakukan perbuatan yang boleh mengakibatkan kebinasaan diri. Contoh yang sering kita dengari ialah merokok dan menghisap dadah. Namun begitu, ayat di atas ini jika kita lihat secara analogi ia juga boleh difahami bahawa Islam tidak membenarkan manusia membiarkan dirinya dalam keadaan bahaya maut atau tidak berfungsi organ tubuhnya yang sangat penting baginya tanpa usaha penyembuhannya dengan berubat termasuk pemindahan organ daripada individu yang berhati mulia yang sanggup mendermakan organnya bagi memberikan harapan kepada yang berkenaan untuk menikmati kehidupan yang lebih baik.
Firman Allah yang lain:
“Dan sesiapa yang memelihara keselamatan hidup seorang manusia maka seolah-olah ia telah memelihara keselamatan manusia semuanya” (Al-Maidah:32)
Ayat ini berbentuk umum, merangkumi setiap bentuk usaha untuk menyelamatkan nyawa seseorang daripada kebinasaan termasuklah orang yang mendermakan organnya dan para doktor yang memindahkannya kepada orang lain bagi menyelamatkannya daripada kebinasaan atau mengembalikan semula fungsi organnya sebagaimana asal yang seumpama memberi satu kehidupan kepada individu tersebut. Syeikh Mahmud Syaltut, seorang ulama kontemporari menyatakan ayat ini menunjukkan bahawa Islam sangat menghargai tindakan kemanusiaan yang dapat menyelamatkan jiwa manusia. Misalnya seorang yang menemui bayi yang dibuang di tempat pembuangan sampah wajib mengambilnya untuk menyelamatkan jiwanya. Demikian pula seorang yang dengan ikhlas hati mahu menyumbangkan organ tubuhnya setelah ia meninggal maka Islam membolehkan bahkan memandangnya sebagai satu amalan perbuatan kebajikan yang tinggi nilainya kerana menolong jiwa sesama manusia dan memberi satu sinar harapan yang baru untuk insan yang kurang bernasib baik ini meneruskan kehidupan.
Sejarah umat Islam yang terdahulu pun ada merekodkan amalan terpuji golongan Ansar yang sanggup berkorban dan melebihkan saudara mereka, golongan Muhajirin hatta ada kisah yang menyatakan wujud individu daripada golongan Ansar yang rela memberikan salah seorang isteri beliau kepada seorang sahabat Rasulullah s.a.w (golongan Muhajirin). Perihal hal ini dinukilkan Allah s.w.t dalam firmanNya:
“Dan mereka juga mengutamakan orang-orang yang berhijrah itu lebih daripada diri mereka sendiri sekalipun mereka berada dalam keadaan kekurangan dan sangat berhajat” (Al-Hashr:9)
Perlakuan seseorang menderma organ kepada orang lain adalah satu perbuatan mulia dan termasuk dalam konteks ayat di atas kerana pelakunya sanggup memberi sesuatu yang berharga pada diri untuk didermakan kepada golongan yang amat memerlukan pada saat genting iaitu ketika nyawa berada di hujung tanduk dan maut datang menyinggah. Daripada perlakuan itu menyerlahkan bahawa mereka ini berpegang dengan wahyu Allah dan mempraktikkan sifat mahmudah golongan Muhajirin yang sanggup mengutamakan orang lain daripada diri sendiri.
Selain itu, pesakit yang keselamatan nyawanya dikatakan bergantung kepada pemindahan organ dan ada pula orang yang sanggup menderma organnya kepada pesakit berkenaan tanpa rasa bimbang berlaku kebinasaan pada diri sendiri, sudah tentu tindakan pendermaan itu termasuk dalam bab ihsan yang digalakkan oleh syarak dan menepati seruan dermalah organ demi sebuah kehidupan. Qawaid (kaedah-kaedah) Fiqhiyyah pula yang boleh lihat dalam menjelaskan persoalan ini ialah:
1. “Kemudaratan hendaklah dihilangkan”
2. “Keadaan darurah mengharuskan yang haram”
3. “Apabila suatu perkara berada dalam kesempitan ia mewujudkan keluasan”
Kaedah-kaedah ini terbit daripada nas-nas syarak, menjelaskan bahawa syarak memberikan rukhsah (kelonggaran) kepada orang yang berada dalam situasi darurah untuk menghilangkan kemudaratan yang menimpa dan boleh dikaitkan dengan operasi pemindahan organ dan pendermaan organ kerana ia melibatkan keadaan kesukaran atau darurah kepada pesakit yang diancam maut. Manakala, apabila dibandingkan kemudaratan yang dialami oleh penderma organ dengan kemudaratan yang menimpa pesakit yang amat memerlukannya sudah tentulah kemudaratan pesakit yang terlibat lebih besar kerana itu menghilangkan kemudaratan pesakit harus diutamakan dan ini selari dengan satu kaedah fiqhiyyah yang berbunyi:
“Apabila bertembung dua kemudaratan, hendaklah diutamakan mengelak kemudaratan yang lebih besar dengan melakukan kemudaratan yang lebih kecil.”
Ringkasnya, sudah terang lagikan bersuluh bahawa sesungguhnya menderma organ adalah amalan yang terpuji, selaras dengan roh syariat Islam, dan satu perbuatan yang amat tinggi ganjarannya di sisi Allah s.w.t kerana individu tersebut melakukannya tanpa memikirkan keselesaan dan kepentingan diri sendiri malahan lebih mengambil berat dan mengutamakan diri orang lain. Tambahan lagi, timbang tara dan neraca hukum dan nas-nas syarak jelas mengharuskan amalan ini dan sekaligus menepiskan anggapan negatif orang ramai kepada perkara ini serta secara langsung menghilangkan kekaburan dan kegusaran lalu. Maka adalah molek kempen menderma organ ini dijalankan secara lebih giat dan meluas terutamanya di kalangan masyarakat negara ini berserta penerangan yang lebih lanjut dalam hal.
Dermalah organ anda demi sebuah kehidupan yang lebih sempurna kepada golongan yang memerlukan.
Firman Allah s.w.t:
Tidak seperti murid Tahun Enam lain yang kegirangan ketika menerima keputusan cemerlang 5A Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), Siti Amynur Ain Putri Rosdy kesedihan menerima keputusan itu di hadapan jenazah ibunya.
Apabila keputusan UPSR diumumkan di pejabat Sekolah Kebangsaan Taman Dusun Nyior, Seremban semalam, Siti Amynur Ain Putri berada di surau rumah rakyat Taman Dusun Nyior untuk membantu kaum keluarga yang lain menguruskan jenazah ibunya, Rusmah Abdullah, 47, yang meninggal dunia akibat tekanan darah rendah pada tengah malam Rabu selepas terlantar di wad hospital selama dua minggu.
Berderai air mata Siti Amynur Ain Putri dan kaum keluarga yang lain apabila guru besar sekolah itu, Noreha Adam menyampaikan keputusan ke tangan pelajar itu sendiri di hadapan tubuh kaku ibunya beberapa minit sebelum solat jenazah dimulakan pada pukul 11.30 pagi semalam.
"Saya sedih sangat, ibu tidak dapat melihat keputusan ini. Ibu selalu berpesan semasa hidup bahawa saya ini harapan dia, ayah pula sudah meninggal dunia empat tahun lalu," kata Siti Amynur Ain Putri dengan linangan air mata kepada Bernama.
Pelajar itu kini hidup yatim piatu bersama abangnya yang berusia 14 tahun.
Selepas ayahnya meninggal dunia akibat sakit tibi, ibu Siti Amynur Ain Putri bekerja sebagai pencuci di sebuah hotel bajet rendah di Seremban dengan pendapatan RM500 sebulan.
April lepas, ibunya terpaksa berhenti kerja apabila pelajar itu mengalami kemalangan sehingga patah kaki dan keluarga itu terpaksa hidup dengan bantuan kewangan RM400 sebulan.
Setiap hari selepas berhenti kerja, ibunya akan berjalan kaki sejauh satu kilometer untuk menghantar nasi bungkus kepada Siti Amynur Ain Putri kerana pelajar itu tidak balik rumah untuk menunggu kelas bimbingan UPSR.
Guru besar Sekolah Kebangsaan Taman Dusun Nyior, yang terkejut ketika dimaklumkan ibu Siti Amynur Ain Putri meninggal dunia, berkata: "Siti merupakan ketua murid di sekolah kami. Kami tahu dia akan mendapat keputusan cemerlang.
Pagi-pagi saya sudah ke Pejabat Pelajaran Daerah untuk mengambil keputusan (UPSR) seawal mungkin.
"Saya nekad untuk mendapat keputusan cepat dan sampaikan sendiri ke tangan Siti sebelum jenazah ibunya di kebumikan di tanah perkuburan Makam Tuan Haji Said," katanya.
Beliau dengan ditemani seorang guru hampir sahaja terlewat dan Noreha tidak putus-putus berdoa supaya Siti Amynur Ain Putri menerima berita baik di sebalik ujian berat yang menimpa pelajar itu.
Ketika menyampaikan keputusan itu ke tangan murid Tahun 6 itu, Noreha berkata suasana sangat hiba dan puluhan orang termasuk ahli surau terdiam tetapi beliau mengumpul semangat untuk memberitahu kepada murid itu: "Ibu tentu tahu Siti mendapat keputusan cemerlang".
Noreha, yang berpengalaman dalam bidang perguruan selama 24 tahun, kini berusaha untuk membantu Siti Amynur Ain Putri mendapat tempat di sekolah berasrama penuh.
"Siti ini tabah orangnya, kami tidak tahu pun ibunya dimasukkan ke wad selama dua minggu sebelum meninggal dunia. Semasa Siti patah kaki pada April lepas, dia mendapat cuti sakit selama dua bulan tetapi masuk bulan kedua, dia berazam untuk datang ke sekolah," katanya.
Katanya Siti Amynur Ain Putri mahu mengubah kemiskinan keluarganya dan bercita-cita menjadi seorang pensyarah. - Bernama
Alhamdulilah ..
erm setelah sekian lama x update ( sibuk ngan final project )
final group aku hampeh...
lect tgok & laugh we are the most dead at that day ....
lupa plak nk letak gmbar final km nnti km bubuh
ok la tgah watassigment yg tertuda see you soon My Blog
www.iLuvislam.com
Dihantar Oleh: LaDyInMusLims*
Editor: b_b
Pernah tak demam masa kita zaman budak-budak dulu? Mesti pernah dan apa yg mak kita akan buat? Bawa kita pergi jumpa doktor atau mak sendiri jadi doktor di rumah? Ada tak mak kita ambil tuala kecil, kemudian rendamkan dalam air asam jawa, pastu mak kita pun letak atas dahi kita. Ada tak? Semestinya ada. Betul tak wahai sahabat-sahabat sekalian?
Jadi di sini saya nak kongsi sedikit tentang ilmu FIQH PERUBATAN.
APA PETUNJUK RASULULLAH S.A.W UNTUK RAWATAN DEMAM?
- Daripada Ibn Abbas r.a, Nabi s.a.w bersabda: Sesungguhnya demam adalah daripada percikan api neraka, kerana itu sejukkanlah badan yang demam itu dengan air, atau baginda dengan kata lain adalah air zam-zam. Bagaimana caranya? Begini, renjislah air kepada tubuh atau berendam di dalam air.
- Daripada Anas bin Malik, Rasulullah s.a.w bersabda: Apabila salah seorang daripada anda demam, hendaklah merenjiskan air sejuk ke atas tubuh badannya sebanyak tiga malam pada waktu sahur.
- Daripada hadis Nafi' bin Jubir, katanya Rasulullah s.a.w bersabda: Apabila salah seorang daripada anda demam, sesungguhnya demam itu adalah sebahagian daripada api neraka, hendaklah memadamkannya dengan air sejuk. Hendaklah berendam dalam sungai yang mengalir, mengadap aliran air selepas solat subuh dan sebelum naik matahari dan hendaklah membaca Basmalah. Hendaklah berendam selama tiga kali selama 3 hari. Jika tak sembuh cubalah sebanyak 5x,7x atau 9x. Sesungguhnya ia tidak akan melebihi daripada 9x InsyaAllah.
- Daripada Jabir r.a katanya: Rasulullah s.a.w pernah menemui Ummu al-Sa'ib kerana melawatnya. Baginda bersabda: "Kenapa anda menggigil? Jawabnya: Demam dan tidak ada keberkatan daripada Allah padanya. Sabda baginda s.a.w: Jangan mencaci demam, kerana sesungguhnya ia menghapuskan kesalahan anak Adam, sebagaimana mesin penghembus api menghapuskan karat-karat pada besi.
Last but not least, rupa-rupanya petua orang-orang tua dahulu sebenarnya sesetengahnya ada tertulis dalam hadis Nabi s.a.w. Sebab itulah Nabi Muhammad s.a.w bersabda yang maksudnya: "Setiap penyakit itu ada penawarnya kecuali mati".
kisah realiti di Sungai Petani kedah { tempat ana la}
kesihan budak melayu sekarang kemana perginya agama ???
bukak dada korek hati bertanyalah tentang diri sendiri {maaf bunyi agak kasar sikit }
Matlamat salah cuba menghalalkan cara.
Melalui hidup sebagai remaja, hidup di universiti yang berjauhan daripada ibu bapa, sedikit sebanyak, tempiasnya akan terkena juga. Terlalu banyak dugaan dalam cinta siswa siswi dan tidak semudah kata-kata untuk memelihara diri. Kehidupan di kampus yang jauh daripada pengawasan keluarga menyebabkan diri mudah terpedaya dengan ajakan nafsu.
Bagi mereka yang sudah terjebak, bukan mudah untuk membuat keputusan yang rasional di saat emosi dan perasaan sedang berkecamuk. Kalau ambil keputusan untuk berpisah, adakah masih ada lelaki lain yang seperti dia? Kalau diteruskan hubungan ini, sanggupkah aku menanggung dosanya?
Tiada siapa yang akan menolong aku kalau bukan aku. Kekuatan itu mesti bangkit daripada dalaman diri sendiri. Jika niat itu sudah nekad, Allah Taala akan permudahkan jalan itu.
Inilah dunia sekarang yang penuh dengan kekeliruan dan jauh daripada penghayatan Islam sebenar. Masing-masing menggunakan agama sebagai pasport untuk membuat kebaikan daripada kaca mata mereka sendiri bukannya apa yang telah digariskan oleh Allah Taala dan Rasul.
Walaupun pada awalnya kita berniat hendak melakukan sesuatu yang baik, tapi mudah sungguh syaitan dan nafsu memesongkan niat suci itu dalam pelbagai cara yang cukup kreatif. Rasanya ramai remaja merasakan perlu kepada teman lelaki atau perempuan yang berlainan jantina merupakan satu ‘keperluan’ untuk rasa sempurna. Tempiasnya terkena juga kepada golongan remaja khususnya siswa dan siswi yang nampak komited pada kerja-kerja dakwah.
Sememangnya manusia lebih terdedah kepada kebaikan yang adakalanya mengaburi mata mereka, walhal perkara itulah sebenarnya yang mengundang malapetaka buat diri mereka sendiri. Begitu payahnya kita mahu membezakan perkara yang baik dan yang benar-benar baik. Apabila kita sudah terhantuk barulah kita baru terngandah itulah sebenarnya kesilapan.
Mereka tahu mereka hidup dalam dosa dan kesalahan, cuma yang penulis tidak faham bagaimana mereka boleh rasa sayang untuk lepaskan pasangan semata-mata mereka rasa dalam perhubungan mereka masih ada kebaikan, bersandarkan kepada sms tazkirah, suruh bangun tahajjud. Bagaimana mereka memandang dan menilai kebaikan?
MATLAMAT HALALKAN CARA
Penulis rasa gusar memandangkan beberapa kes yang banyak berlaku di kalangan mereka ingin membawa Islam, tetapi akhlak pergaulan muslimah dan muslimin tidak dijaga.
Hanya berbekalkan perkataan yang berbentuk perbincangan, jihad, tazkirah, dan mengejutkan untuk ber-tahajjud, sinonim dengan perbincangan berbau Islam mereka anggap hubungan mereka ini sudah diredhai walaupun hanya sekadar bertelefon, sms, e-mail dengan luahan perasaan cinta masing-masing.
Tambahan lagi pengaruh nasyid temporari kini yang hangat mengutarakan lagu cinta sesama muslim menjadi penghangat cinta bagi mereka yang menghalalkan cara.
Segala-galanya adalah mainan perasaan yang kerap melihat kebaikkan di dalam dosa itu, dan amat jarang bagi kita untuk bermuhasabah di atas kebaikkan-kebaikan yang kita sangkakan telah dilakukan. Memanglah alam remaja, teramat indah jika ada orang lain yang sentiasa caring ke atas kita, tetapi percayalah ianya hanyalah khayalan sementara kerana selepas hidup bersama barulah kita tahu kelemahan dan keburukan pasangan masing-masing.
Bila anak-anak sudah bertambah dan kesibukan hidup pun juga bertambah, hilanglah segala impian-impian dan angan-angan terdahulu.
Kepada adik-adik remaja, khususnya mereka yang di bangku menara gading, jauhilah maksiat ber-couple atau apa sahaja perlakuan mungkar kerana semuanya itu saling membuktikan kepada Allah Taala bahawa kalian berdua amat berani mendurhakai Allah Taala. Rumahtangga dibina bukan hanya atas cinta, tetapi juga pada saling mempercayai.
Jika Allah sudah diingkari, siapa lagikah yang boleh dijadikan tempat meletakkan kepercayaan? Dosa semalam akan pasti menjadi kecurigaan hari ini, esok dan selamanya.
Muhasabahlah kalian.
HAYATI AJARAN ISLAM SEBENAR
Kita bincang pasal manusia, naluri manusia suka dicintai dan mencintai, hati pula kalau sentiasa senang akan menjadi bosan tapi kalau sentiasa susah hati akan menjadi rawan, nafsu adalah kelemahan manusia. Barang siapa berjaya menundukkan nafsu, martabatnya akan menyaingi malaikat, kalau ditundukkan oleh nafsu akan turun lebih rendah daripada binatang.
Memang susah merubah seorang musuh menjadi kawan, kemudian menjadi sahabat, memadamkan kemarahan hati dan merubah muka marah dengan senyum, memberi maaf kesalahan sehingga udara yang tadinya mendung menjadi terang benderang. Memang susah melakukan itu, dan ini hanyalah pekerjaan orang yang berhati waja, mempunyai kemahuan yang besar dan bercita-cita mulia.
Namun sedar atau tidak, takwa kepada Allah Taala adalah yang perlu ditekankan. Betapa beratnya balasannya andai kita tersilap langkah dan akhirnya terjerumus ke arah maksiat yang pastinya kita semua maklum tentang balasan Tuhan.
Allah Taala berfirman yang bermaksud: “Dan orang yang berusaha (berjihad) dengan bersungguh-sungguh kerana memenuhi kehendak agama kami, sesungguhnya kami akan memimpin mereka ke jalan kami, dan sesungguhnya (pertolongan dan bantuan) Allah adalah berserta orang-orang yang berusaha memperbaiki amalannya” al-Ankabut (29:69)
Usahlah berlengah lagi untuk berhijrah, andai sudah terdetik dalam hati bahawa perlakuan kalian buat ini adalah salah dan dilaknat Allah Taala, segeralah berhijrah kerana teramat khuatir andai hanya kali ini sahaja peringatan Allah Taala datang untuk menegur kita dan kita pula tidak mengendahkannya, kita akan terus hanyut dengan dosa kita sampai ke akhir hayat kita.
Perlakuan matlamat menghalalkan cara mengelabui mata.
Perintah itu wajib.
Berjihadlah dalam mencari cinta yang suci iaitu cinta selepas pernikahan. Mengapa mencari kaca andai telah dijanjikan permata, dan mengapa mencari api yang membakar kalau sudah dijanjikan salju dingin. Bersabarlah untuk sesuatu yang lebih manis pada masa akan datang.
Jika kita mencari redha Allah dengan kemarahan manusia, nescaya dicukupkan Allah dengan keredhaannya , jika kita mencari kemarahan Allah dengan keredhaan manusia nescaya Allah Taala serahkan kita kepada manusia.
Mua’dz ra berdoa sebelum kematiaannya: “Aku mencintai hidup hanya untuk tiga perkara iaitu untuk berpuasa di siang hari, untuk qiammullail di malam hari dan untuk berkumpul dengan para ulama”.
Carilah kesibukkan di antara terlopong masa dengan pekerjaan, daripada sesenang pekerjaan yang dikira ibadat yang boleh menghasilkan pahala. ameen
Pada saat kau hadir ke dalam hidupku
Aku langsung tidak mengenali dirimu
Tetapi kau lemparkan senyuman manis dan ikhlas
Terpancar sinar kegembiraan diwajahmu
Maka dengan senang hati dan kesyukuran
Aku menyambut salam perkenalan darimu itu..
Sahabatku....
Hari demi hari berlalu
Kau dan aku semakin kenal hati budi masing-masing
Berkongsi suka dan duka
Tangis dan tawa yang dirasai
Pahit dan manis kehidupan yang dilalui
Ya..! Ukhuwah antara kita semakin intim wahai sahabatku..
Sahabatku....
Tika aku hampir lemas dan putus asa dalam arus dunia
Kau datang dengan 1001 nasihat kepadaku
Kau peluk tubuhku lalu kau kucup dahiku
Dan kau seka airmataku dengan hujung tudungmu
Kau tersenyum dan menunjukkan sinar ceria wajahmu
Kau genggam erat dan pimpin tanganku
Lalu kau berbisik kepadaku
Tentang janji-janji Allah swt terhadap hambaNya yang beriman
Dan kau yakinkan aku, bahawa Allah swt sentiasa bersamaku..
Sahabatku....
Berjuta kesyukuran aku panjatkan
Ke hadrat Ilahi kerana telah mempertemukan kau denganku
Kau mengingatkan aku bila diriku terlalu lagha
Kau mengingatkan aku bila diriku terlalu gembira
Dan ada ungkapan dari bibirmu
Yang tidak mungkin aku dapat lupakan
Kau berkata..
"Menangislah selalu wahai sahabatku..
biar matamu bengkak dek kerana takutkan Allah..
Jangan bengkak dek kerana nikmat dunia.."
Lalu kau tersenyum dan memelukku
Dengan pelukan yang erat sekali
Pernah aku rasakan darimu..
Sahabatku....
Hari berganti hari
Malam berganti siang
Dan akhirnya kita sibuk dengan hal masing-masing
Tidak lain tidak bukan
Berdakwah untuk menuju rabithah mardhotillah..insyaAllah!
Kau sering menghantar pesanan sms kepadaku
"sahabatku, cekalkan hati untuk menempuh setiap
ujian daripada Allah swt..
Ingatlah, Allah swt menguji tahap keimanan kita.."
Sahabatku....
Aku masih ingat bilamana aku memeluk dirimu
Kau berkata padaku
"Wahai sahabatku, sayangilah aku kerana Ilahi
Dan pimpinlah aku ke jalan Ilahi
Semoga ukhuwah kita kekal hingga ke jannah, insyaAllah!"
Dengan lajunya airmataku mengalir ke pipi
Lalu kau sapu dengan senyumanmu
Dan kau keringkan airmataku itu
Dengan gelengan kepalamu
Sesungguhnya engkau sahabat sejatiku..
Sahabatku....
Masih segar juga diingatanku
Tika ada perselisihan faham berlaku antara kita
Kau menarik lenganku untuk duduk bersamamu
Duduk dan memuhasabah diri atas apa yang berlaku
Dan kau berpesan kepadaku
"Wahai sahabatku yang aku sayang kerana Allah
Ini adalah salah satu ujian daripadaNya
Menguji sejauh mana keutuhan persahabatan kita
Untuk melalui kehidupan di atas muka bumi ini"
Kau terus memalingkan mukamu
Menyembunyikan airmatamu
Yang mengalir deras dari matamu
Aku merangkul tubuhmu
Ya Allah!! Airmata kita sama-sama
Mengalir tanda kasih sayang persahabatan..
Sahabatku....
Andainya satu hari nanti
Kita terpisah dek jarak
Atau mungkin kita terpisah dek mati
Aku ingin kau tahu satu perkara
Bahawasanya
Aku sangat menyayangimu
Hanya kerana Allah swt
Aku mengasihimu
Hanya kerana Allah swt
Dan teruslah berdoa agar ukhuwah antara kita
Kekal hingga ke syurga
Walaupun banyak dugaan yang akan melanda
Ketahuilah, aku akan cuba memelihara persahabatan ini.. insyaAllah.
Sahabatku..
Doakan kejayaan kita di dunia dan akhirat
Seandainya aku pergi dulu
Iringilah aku dengan kalungan doa
Janganlah kau tangisi pemergianku
Biarpon dengan setitis airmatamu
Tabahkan dirimu wahai sahabatku
Dalam menempuh dunia yang penuh liku
Semoga kita bertemu di dalam syurga Ilahi
Sesungguhnya engkau sahabatku
Di dunia dan di akhirat


