“Apa salah Mia, mama? Mia tutup aurat, Mia solat..tiap-tiap
hari Mia doakan kesejahteraan keluarga kita ma, tapi kenapa Tuhan balas
Mia begini??!” Damia berada erat dalam dakapan ibunya, Faridah.Sejak anaknya menjadi mangsa kerakusan lelaki tidak berhati perut, sejak
itulah hidup anaknya seakan gelap. Tiada lagi senyum dan tawa yang
menghiasi satu-satunya anak perempuan kesayangannya. Tercabar jua naluri
keibuannya. Entah apa lagi yang harus dilakukan untuk mengembalikan
semangat puteri kesayangannya. Pujukan dengan kata-kata seakan lemah
buat Damia. Hanya doa yang mampu Faridah titipkan agar Damia kembali
positif dalam hidupnya.
’Andai ibu diberi pilihan, biarlah ibu yang menanggung deritamu, Mia,’
bisik hati kecilnya.
Damia bukan lagi seperti dulu. Perwatakannya
jauh berbeza dari sebelumnya. Kalau dulu pada awal subuh dan selepas
maghrib akan terdengar alunan bacaan Al-Quran yang merdu menghiasi
kamarnya. Namun kali ini cuma esakan yang menjadi ganti suasana itu.
Ah,rindunya pada Damia yang dulu! Terkadang hampir sahaja keluar sumpah
serana dari bibirnya untuk lelaki tak bertamadun itu. Kalau ikutkan
hati, biarlah lelaki itu mati ditangannya!
“Mama tak tahu lagi
nak buat apa..mak tak sanggup tengok adik kamu terus menangis macam ni.
Sekarang dah hampir tiga bulan Johan. Tiga bulan! Tengoklah apa lelaki
keparat tu dah buat dengan adik kamu! Makan pun payah, solat pun dia dah
abaikan, asyik menangis..menangis…menangis. Jumpa doktor psikologi pun
tak ada sembuhnya!” perasaannya berbaur marah dan kecewa.
Ujian apakah
yang menimpa keluarganya? Cukuplah dia melalui zaman perit bersama bekas
suaminya dulu, cukuplah hanya dia yang menanggung derita dan kecewanya
terhadap seorang lelaki. Kenapa ‘lelaki’ juga yang memusnahkan hidup
anaknya, Damia?!
“Ma, Jo tahu apa yang menimpa Damia memang teruk
dan tak pernah terfikir pun ia akan berlaku. Tapi Jo yakin setiap
kejadian ada hikmahnya, ma. Mama pernah ajar Jo kan, kita tak boleh
putus asa dalam hidup ni sedangkan Allah masih tidak pernah putus
menghulurkan pemberian-Nya. Allah masih memberi kita waktu untuk
bernafas di udara-Nya, memberi waktu untuk mengingati-Nya, memohon
pada-Nya. Mama juga pernah kata,tiap perbuatan ada balasannya. Selagi
kita berhambakan Allah untuk hidup, dan bukan berhambakan hidup untuk
Allah, kita pasti akan menemui kebahagiaan. Entah dunia atau akhirat…”
Matang bicara Johan.
Jatuh jua air mata Faridah, bersyukur memiliki anak seperti Johan. Saat
dia hampir rebah, dia punya anak yang memapah. Wajarkah dia berputus asa
pada rahmat-Nya?
“Alhamdulillah…terima kasih sedarkan mama, Jo.
Kita sama-sama berdoa, semoga adik kamu tabah dan mendapat hidayah-Nya.”
Johan tersenyum sambil memegang erat tangan ibunya.
Jam hampir
menunjukkan jam 8.20 malam. Bising. Satu-persatu buku dari rak yang
tersusun kemas dibiarkan berselerak diatas lantai. Apa sahaja objek
dihadapan mata Mia seakan tidak kena pada tempatnya. Pasu bunga yang
dibiarkan jatuh dan pecah dihadapannya seakan menghiburkan hati. Lantas
jari-jemarinya bermain dengan serpihan kaca yang berterabur di sekitar
permukaan lantai. Tiada perkataan ‘luka’ yang wujud pada deria rasa saat
Mia menyentuh serpihan-serpihan kaca oleh jemarinya. Baginya tidak ada
gunanya lagi dia menghargai jasad yang sudah menjadi mangsa nafsu hamba
dunia. Kotor! Jijik!
“Astaghfirullah..Mia!” Faridah berlari
mendapatkan Mia. Johan pantas menarik tangan adiknya yang sudah dibasahi
darah kerana luka dari serpihan kaca yang disentuhnya.
“Mia! Kau
sedar tak apa yang kau buat ni?!!”
“Johan, janganlah marah adik
kamu..dia masih tak stabil,” ujar Faridah sambil berusaha menghentikan
pendarahan dari kedua tapak tangan anaknya.
“Mia dah melampau ma!
Kita berusaha untuk kembalikan semangatnya..kita berdoa untuk dia tapi
dia pula berusaha membunuh diri! Apa yang kau nak Mia? Kau nak biarkan
lelaki tu rampas kesucian hati kau pula? Jangan pernah salahkan takdir
Mia..Jangan pernah kesalkan hidup. Kau tak sedar ke berapa ramai lagi
mangsa rogol diluar sana yang tak berpeluang meneruskan hidup macam kau?
Jangan biarkan kebodohan lelaki tu pun buat kau bodoh!” Damia terdiam
walau air matanya terus membasahi pipi gebunya.
Faridah hanya mampu diam, membiarkan Johan meneruskan kata-katanya
dengan harapan dapat menyedarkan Damia.
“Berapa ramai lagi yang
diuji diluar sana, sampai cacat pendengaran, buta pandangan tapi masih
ada keinginan meneruskan hidup! Masih menghargai nyawa yang dianugerahi
Allah. Abang tak kata dugaan kau tak sehebat mereka, tapi abang nak kau
sedar Mia, betapa hebat pun ujian dan dugaan yang kita terima semuanya
berpaksikan kembali pada Allah. Mengingati Allah.” Johan tunduk
menyelindungkan wajahnya yang dibasahi airmata.
Bukan niatnya untuk memburukkan Damia, tidak terdetik sedikitpun niat
untuk melemparkan semua kesilapan di bahu Damia. Hati kecilnya turut
tercalar dengan peristiwa yang menimpa adiknya. Perasaan bersalah
menyelubungi dirinya yang mengakui tidak menjaga Damia sebaiknya. Andai
sahaja dia tahu akan berlaku sesuatu, pasti Johan sanggup membatalkan
niatnya untuk pergi mesyuarat. Aku tak patut biarkan Damia balik
bersendirian!
“Maafkan Mia..mama, abang Johan..”
“Mia tak
pernah salah dengan mama, sayang.” Faridah menyeka airmata Damia.
“Mia..jasad
ni milik Allah. Apa yang berlaku semua ada hikmah. Abang minta maaf tak
lindungi Mia sebaiknya..”
Keluarga mereka bersatu dalam pelukan, bersatu dalam tangisan. Berdoa
semoga ada sinar harapan yang cerah untuk mereka, semoga titik-titik
luka tidak akan memutuskan ikatan silaturrahim yang sekian lama terbina.
Semoga harapan itulah yang menghidupkan kembali keyakinan pada Mia.
Semoga ada kesabaran yang subur pada jiwa Damia.
"Dan sungguh akan
Kami berikan cobaan kepadamu, dengan sedikit ketakutan, kelaparan,
kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan. Dan berikanlah berita gembira
kepada orang-orang yang sabar." (Al-Baqarah : 155)
************
10 Ramadhan..
Setahun
berlalu. Hari ini Mia akanberdepan dengan peperiksaan akhir sem. Awal
subuh tadi dia terdengar Mia membaca al-Mathurat sebagai permulaan hari
yang baik untuk Mia menghadapi peperiksaannya. Hatinya semakin tenang
saat melihat senyuman yang sentiasa terukir di wajah Damia.
“Mama
doakan Mia dapat jawab yang terbaik nanti. Jangan lupa, sebelum jawab
soalan…”
“Hadiahkan Al-fatihah buat diri sendiri, pemeriksa dan
saudara kita..serta selawat untuk nabi,” pintas Mia menyambung pesanan
ibunya yang meresap diruang fikirannya.
“Pandai pun anak mama
ni. Johan pun hati-hati memandu tu..jangan nak cepat sampai je.”
“Baik
ma..InsyaAllah..” jawab Johan perlahan.
"Beruntung Mia dapat
jawab exam dalam bulan ramadhan ni. InsyaAllah dapat keberkatan,
sambil berjihad dengan nafsu, berjihad pula dengan ilmu.” Tambah mama
terus memberikan semangat buat Damia.
“InsyaAllah, betul tu
Mia..untung Mia tau. Asalkan niat betul, Allah pasti memelihara,”
sambung Johan sambil bersalam dengan ibunya dan diikuti Mia.
“Sesungguhnya
orang-orang yang beriman ialah mereka yang bila disebut nama Allah
gementarlah hati mereka, dan apabila dibacakan ayat-ayatNya bertambahlah
iman mereka (kerananya), dan hanya kepada Tuhanlah mereka bertawakkal."
(Al-Anfaal : 2)
**********
'Banyak lagi persoalan yang belum
terjawab. Masih ada masa untuk Haris memikirkan kembali keputusannya.
Aku keliru. Benarkah dia benar-benar cintakan aku? Kenapa dia tidak
mempersoalkan sedikitpun tentang kisah lalu aku? Maisarah menemaniku
menemui Haris. Abang Johan dan mama pun tidak tahu pertemuan yang ku
rancang dua hari sebelum tarikh pernikahan. Sepanjang menunggu
kedatangan Haris, hati yang menanti penuh debaran diisi zikrullah.
Semoga Allah memberi kekuatan dan ketenangan buatku. Maisarah tidak
putus-putus memberikan nasihat agar aku mengawal emosi bertemu dengan
lelaki yang belum lagi mempunyai ikatan sah denganku. Malah,ini adalah
kali pertama aku akan bertemu dengan seorang lelaki yang membicarakan
soal perasaan, soal diri masing-masing.'
“Haris dah datang.”
Bisikan Maisarah seperti menusuk ke ruang hati.
“Assalamualaikum..”
sapa Haris dan terus duduk berhadapan Damia. Mereka tidak tahu, Haris
juga pertama kali duduk semeja dengan perempuan yang pertama menyentuh
naluri lelakinya, Damia. Malah tidak terfikir pun, gadis muda berusia 21
tahun dihadapannya akan menjadi permaisuri hatinya, dunia akhirat.
InsyaAllah..
“Waalaikumussalam..” jawab Damia dan Maisarah
serentak. Setelah itu, diam merajai suasana tatkala masing-masing
menunggu pihak mana yang akan bersuara. Damia tunggu Haris. Haris pula
menunggu Damia. Maisarah? Akhirnya Maisarah juga yang memulakan
perbualan setelah minuman yang dipesan telah tiba.
“Awak..awak
masih ada masa nak ubah fikiran, Ris,” ujar Maisarah.
‘Thanks Mai! Tapi bukan aku ke sepatutnya cakap dialog tu?’ getus hati
kecil Damia.
“Nak ubah fikiran? Kenapa Damia? Awak tak setuju
ke?” soal Haris, bingung sambil merenung Damia, mengharapkan jawapan.
“Bukan
tak setuju..tapi,tapi..saya tak seperti perempuan lain. Awak kena faham
tu”
“Ya. Saya faham Mia, awak tak sama dengan perempuan di luar
sana. Awak gadis tabah yang tetap teguh di jalan Allah walaupun Dia
sentiasa menguji awak.”
“Tapi..”
“Damia, dengar sini.
Bukan kecantikan jasad awak yang membangkitkan rasa cinta saya pada
awak, kerana bagi saya semua wanita ciptaan Allah dicipta dengan
kecantikan tersendiri. Tapi kecantikan hati dan keperibadian awak yang
mengagumkan saya. Kerana tak semua wanita mampu bangun dan terus
berpegang teguh pada takdir-Nya setelah rebah dengan dugaan atau
musibah. Saya cintakan awak bukan untuk dunia je, tapi akhirat. Serahkan
laluan cinta pada Allah, bukan saya semata..InsyaAllah. Awak akan lebih
tenang..”
Terdiam. Bibir seakan terkunci rapat untuk bersuara.
Lidah seakan kelu untuk berbicara. Hanya satu yang ku tekadkan dalam
hati. Aku redha atas ketentuan-Nya. Hanya dia yang tahu apa yang
terbaik.
**********
Skrin komputer riba ditatap lama. Puisi itu
benar-benar menyentuh jiwanya. Blog ‘An-Nisaa’ yang menjadi tatapan
Haris kini menarik perhatian. Penuh dengan puisi keagamaan. Siapakah
yang diilhami Allah SWT untuk menulis puisi yang begitu indah pada iman.
Semoga setiap pembacanya mendapat manfaat dan menghayati tiap bait-bait
ayat yang begitu menggegarkan jiwa khalifah. Walau siapa pun
penulisnya, semoga Allah merahmatinya.
CINTA..
Andai saja kau
bisa merasa getaran HATIku,
Kau akan tahu betapa aku sangat
meRINDUimu..
Andai saja kau bisa menadah AIR MATAku,
Kau akan tahu
betapa aku takut keHILANGanmu..
Andai saja kau JAUH dari diriku,
Kau
akan lihat betapa KOSONGnya hidupku..
Andai saja kau HILANG dariku..
Berjuta
nyawa pun tak mampu menghidupkan JIWAku!
Cinta..
Jatuhnya aku
pada kekuatan cinta tanpa melihatmu..
Butanya aku pada dugaan yang
menguji kasihku..
Biar nyawa jadi taruhan asalkan cinta ini
dipertahankan..
Biar harta dan jasad terkorban..
Kerana cinta ini
yang ku damba!
Cinta..
Menyebut namamu takkan pernah jemu..
Mengingatimu
takkan pernah lupa..
Memujimu takkan pernah rapuh..
Janjimu
sentiasa teguh..
Cinta sehidup dan selepas mati..
Cinta yang
sentiasa bahagia walau derita..
Aku menyintai sesuatu kerana cinta
itu!
Aku hidup kerana cinta itu!
AKu mati kerana cinta itu!
Cukup
bagiku cintamu..
Itulah pelindung yang memeliharaku..
Itulah
ketenangan yang mententeramkan aku..
Itulah kebahagiaan yang
menyinariku..
Engkau yang selalu ada..
Engkau yang sentiasa
bersama..
Saat suka dan duka..
Aku cinta padamu..
Aku cinta
pada takdirmu..
Aku cinta pada jalanmu..
Atas nama cinta..
"Aku
naik saksi tiada Tuhan selain Allah,dan Nabi Muhammad itu pesuruh
Allah.."
Atas nafas cinta...
Subhanallah..
Alhamdulillah..
Allahu
Akhbar..
Jihad cinta buatMu ya Rabb...
Pelihara nadiku untuk
sentiasa mengingatiMu..
Pelihara hatiku untuk sentiasa beriman
padaMu..
Puisi ‘Aku jatuh cinta’ dibacanya berulangkali. Sesekali
airmata yang jatuh disekanya segera. Bibirnya meniti istighfar. Puisi itu
seakan merasuk kamar emosinya. Menerjah diruang fikirannya. Lantas
jasadnya bangun menyucikan diri dengan wudhu. Tenang. Jiwanya dibalut
ketenangan usai sahaja solat tahajudnya tengah malam
itu. Subhanallah..Alhamdulillah..Allahu Akhbar..zikir berlagu pada
bibir, jiwa dan meresap di hati.
**************
“Terima kasih kak Mia, selama ni akak dah banyak bagi dorongan dan
nasihat pada Alia, kalau tak..entahlah apa yang akan jadi.”
Wajah Alia ditatap lama. Bukan kerana simpati yang membakar semangatnya
untuk membantu Alia, tetapi gadis belasan tahun yang baru memasuki pusat
perlindungan Anisa itu benar-benar menyentuh naluri wanitanya. Alia
menjadi mangsa rogol manusia tak berperikemanusiaan. Kejam. Satu-satunya
ayat yang layak menggambarkan derita gadis ini. Mujur Allah memberi
rahmat dan petunjuk pada hambanya yang lemah. Biar jasad ditindas, tapi
iman sedikitpun tidak akan tercalar.
“Syukur pada ALLAH SWT, hanya dia yang memberi sinar pada jiwa kita.
Kakak cuma jalankan tanggungjawab sebagai seorang muslim, Lia.”
“Semalam cikgu Haris beri ceramah sekejap je, tapi kali ini lebih
banyak mendengar dan menghayati..tak seperti selalu.”
“Kenapa, dia cakap tentang apa?”
“Kebanyakan penghuni yang ada disini lemas kerana cinta nafsu, ditindas
kerana cinta dunia..Tapi semalam, bila cikgu Haris berikan puisi
ni..kita sebagai wanita semua hanya terdiam. Dalam diam, semuanya ingin
berubah dan bersihkan niat dalam hati, kak.” Sayu ucapan Alia sambil
tangan kanannya lantas menghulur kertas putih yang berada digenggamannya
tadi.
Mata membaca setiap bait ayat, menerjah ruang minda dan mencari sudut
jiwa. Lantas bibir menguntum senyuman.
“Kenapa akak senyum semacam je, akak pernah baca puisi ni ke?” Alia
bingung.
“Puisi ni sangat dekat dengan akak, Lia..sentiasa rapat dihati
akak..”
“Puisi ni diambil dari…”
“Blog An-Nisa.” Sambung Damia.
Tepat sangkaannya, getus Alia. “Kakak penulis puisi yang selama ni cikgu
Haris beri pada kami?” soal Alia terus.
Namun Damia hanya memberikan senyuman sebagai jawapan. Menyembunyikan
sedikit emosinya yang masih terkejut kerana suaminya menggunakan nukilan
puisi dalam blognya sebagai bahan kaunseling. Tidak menyangka Haris
turut menyelami curahan jiwanya dan menyampaikannya dalam corak bimbingan
kaunseling.
“Cikgu Haris tak tahulah selama ni yang tulis puisi kegemarannya
ialah isterinya sendiri.” Usik Alia.
“Akak pun tak sangka suami akak boleh terjah blog akak. Sebelum ni
memang ada yang minta izin copy semua karya akak melalui emel, tapi
akak tak tahu yang minta izin tu suami akak sendiri,” ujarnya sedikit
tergelak. Subhanallah..
Kertas yang dicetak dari laman blognya ditatap bersama Alia.
Pilihanku..
Bukannya
pada paras rupa yang menawan hati..
Kerana cintaku bukan pada
pandangan semata..
Takut jika diwarnai kegelapan..
Kita buta
hilang arah..
Pilihanku..
Bukannya pada manis tutur kata
bermadah..
Kerana cintaku bukan pada janji yang bermaharajalela..
Andainya
suara dikaburi fitnah,
Kita rebah tiada bermaya..
Pilihanku..
Bukan
pada banyaknya harta dunia,
Kerana cintaku bukannya ternilai dengan
harga..
Bimbang kemewahan membawa leka..
Menghilangkan cinta kita
padaNya..
Lalu dimanakah bahagia?
Pilihanku itu..
seorang
yang buta..
Buta menilai paras rupa..
Sesungguhnya syahadahnya
menggegar seluruh jiwaku..
Keikhlasannya melakar cinta yang diredha..
Tongkatnya
pada akidah yang menyinari laluan bahagia
Pilihanku itu...
Seorang
yang bisu..
Bisu mengungkapkan janji yang tiada pasti..
Kerana
harapan disandarkan pada Illahi..
Pendiriannya menusuk nurani hawa..
Bait-bait
kesyukurannya lahir pada sujud seorang hamba
Pilihanku itu..
Seorang
yang papa dan hina...
Papa dengan takbur yang mengubur
Hina
kerana sederhana..
Iman memujuk jiwanya..
Cintanya pada agama
mengikat tali ukhwah..
Lalu disimpul teguh pada tiang pernikahan..
Pilihan
kami..
Pada agama yang memelihara
Pada Syahadah yang mengiringi
Pada
Alquran yang membimbing..
Biar..
Cinta kami pada maha
Menyintai..
Kerana janjiNya yang pasti
Cinta kami pada kekasih
Illahi
kerana memimpin ke jalan bahagia yang hakiki
Kasih isteri
pada cinta yang diberi..
Biarlah sampai ke akhirat nanti...
kerana
yang sebenarnya ku mahukan padanya..
Bukan cuma kekasih duniawi..
Tapi
teman menuju syurgawi..
'Ramai yang mencari
cinta tetapi tertipu olehnya,
Ramai yang kecewa kerana cinta dan putus asa pada rahmat-Nya,
Ramai yang membenci cinta dan membenci nyawanya.'
"Cinta yang dicari tanpa melalui Pencipta adalah cinta yang tiada
batasnya. Cinta tanpa batasan hanya cinta sekadar hiburan. Hiburan yang
bukan hanya melalaikan jiwa, menggelapkan hati malah buta pada Pencipta.
Apabila musibah melanda, mula salahkan Tuhan kerana tidak menyedarkan
daripada leka. Hati kita yang lemah, sentiasa digodai nafsu, sebab itu
kita kena berpegang pada sandaran yang kukuh, Allah SWT. Adanya
iman..apapun cabaran kita tetap mara ke hadapan. InsyaAllah.” Panjang
bicara Damia.
Hilang kata-kata dari Alia, mereka berdakapan. Terusik dengan kata-kata
Damia. Kenapalah sebelum ini aku tidak menghargai nyawa, terlalu awal
untuk menyerah dengan kehidupan? Sedangkan Allah tidak putus-putus
memberi kesempatan. Air mata mengalir dipipi gebu Alia. Hatinya terlalu
akrab dengan Damia.
“Kenapa akak memahami Lia? Adik dan ibu Alia sendiri tak dapat nak
faham Lia..situasi Lia. Akak pun…pernah lalui masa derita macam Lia juga
ke?”
Damia tersenyum, biarlah Alia mentafsirkan sendiri makna senyumannya
kali ini. Alia memandang Damia dengan pandangan berkaca dan bibirnya
turut menguntum senyuman walau soalannya tidak terjawab dengan lisan.
“Bukanlah masa ‘derita’ Lia..tetapi masa yang terlalu berharga.
Airmata yang menangis buat Pencipta, melihat putaran kehidupan dengan
mencari hikmah yang tersembunyi dari Allah, rindu untuk terus sujud
mengharapkan bantuan dan menyandarkan harapan pada-Nya. Istilah ‘derita’
itu patut digantikan dengan ‘tarbiyah’..Kita belajar dan diajar melalui
kehidupan, Alia. Jadi, jangan anggap ini masa derita buat Alia, belum
tentu orang yang bahagia ikhlas mengingati Allah. Saat yang dianggap
derita itulah kita sentiasa bertemankan doa.”
“Ya..Alhamdulillah, terima kasih kak. Kakak terlalu banyak sedarkan
Alia. Alia jahil dengan dunia kak.”
“Alhamdulillah..semuanya dari Allah..” Damia tersentak.
Sejak bila suaminya berada dihadapan mereka? Tabir yang memisahkan
jemaah lelaki dan wanita yang terselak ditiup angin menampakkan jasad
Haris yang benar-benar berada dihadapan. Dengarkah dia semua bicaranya
pada Alia?
Selesai berjemaah solat Asar, Haris terus mendekati isterinya. Tapi kali ini lain panggilan yang keluar dari mulutnya.
“Nampaknya hari ni biar abang yang masak untuk makan malam, khas
buat isteri yang tersayang, An-Nisa” Senyuman Haris memerangkap
emosinya. Tapi…
“Abang sebut Nisa tu, nama madu buat Mia ke?” Damia sengaja
mengusik.
“Amboi, tak payah nak sorok lagi..lepas ni abang nak bukukan karya
tulisan isteri abang. Tak payahlah nak hantar emel nak minta izin kan?”
Sah, Haris dengar tadi! Siap menyindir pula.
“Yelah abang, maaflah sebab berahsia dengan abang.”
“Takdelah..Alhamdulillah, abang beruntung berjumpa dengan penulis
puisi kegemaran abang yang selama ni dekat dengan abang, dan dapat tahu
rahsia sayang pun kat tempat kegemaran abang, kat surau rumah Anisa.
Kenapalah abang tak boleh agak selama ni? Rupanya nama yang sayang beri
untuk rumah perlindungan ni pun sama dengan nama blog sayang kan?”
Rumah perlindungan untuk wanita yang tertindas diberi nama Anisa,
walaupun masih baru tetapi berjaya memberi sinar baru buat
penghuni-penghuninya. Alhamdulillah,itulah harapan mereka. Itulah Jihad
cinta Damia.
“Eh, kata nak masak untuk isteri tersayang, jomlah balik rumah cepat,
nanti traffic jammed lambat pula.”
“Sebelum tu…nak tahu tak rahsia abang tak?”
“Apa?” ucap Damia tidak sabar.
“Puisi ‘Aku jatuh cinta’ tu lah yang buat abang terus menyintai sayang
kerana Allah..” bisik Haris. Bisikan yang membawa manik-manik ketenangan
apalagi saat Haris menyebut nama Allah. Lantas zikrullah menghiasi
kamar hatinya sambil menatap wajah suami tercintanya Haris.
Jihad cinta buat-Mu ya Rabb. Pelihara nadiku untuk sentiasa
mengingati-Mu. Pelihara hatiku untuk sentiasa beriman pada-Mu.
0 comments:
Catat Ulasan