Sabtu, Ogos 14, 2010 | Filed in:
Labels:
Dari Forum Ikutan
Petang itu cahayanya cerah. Angin
bertiup sepoi-sepoi bahasa meniupkan pelepah-pelepah kelapa
menggambarkan suasana desa kampung yang harmoni. Beberapa ekor bangau
melepak bersama kerbau-kerbau di kawasan sawah padi seolah-olah
memberitahu terdapatnya jalinan utuh antara mereka bersama. Pokok-pokok
rambutan yang lebat buahnya menzahirkan keindahan ciptaan Ilahi.
Tanpa disedari, sebenarnya mereka semua sedang bertasbih dan memuji Allah, tanda taat kepada-Nya.
Khairul dan ayahnya sedang
berehat di atas kerusi ringkas di bawah sepohon jambu yang tidak
berbuah. Seperti biasa, mereka berbual-bual tentang isu semasa. Tetapi
petang itu, dia ingin mengutarakan soalan yang lama terpendam dalam hati
kepada ayahnya.
"Abah, Khairul nak tanya sikit boleh?", kata Khairul.
"Tanyalah", jawab ayahnya.
"Sebenarnya, Khairul tak ada
cita-cita. Khairul tak tahu nak jadi bila besar nanti. Abah nak Khairul
jadi apa?", kata Khairul sambil memandang wajah ayahnya menantikan
sebuah jawapan.
Lantas perlahan-lahan ayahnya
meletakkan tangan ke atas bahu Khairul dan berpaut padanya seperti
sepasang sahabat yang sangat rapat sambil mengalirkan arus kasih sayang
kepada anak sulungnya itu.
"Khairul, abah nak Khairul jadi orang. Itu saja", jawabnya ringkas.
Lantas dengan laju jari-jemari
Khairul menggaru kulit kepalanya yang tidak gatal sambil mempamerkan
wajah pelik kepada ayahnya tanda tidak faham dengan kata-kata ayahnya.
Melihat Khairul begitu, ayahnya tersenyum sambil berkata, "tak mengapalah Khairul, suatu hari nanti Khairul akan faham".
Melihat Khairul begitu, ayahnya tersenyum sambil berkata, "tak mengapalah Khairul, suatu hari nanti Khairul akan faham".
Khairul tidak berpuas hati
dengan jawapan ayahnya itu. Malam itu, dia mengutarakan soalan yang sama
kepada ibunya mengharapkan jawapan yang memuaskan hatinya. Tapi,
jawapan yang sama diberi ibunya.
"Mak nak Khairul jadi orang", kata ibunya.
"Memang Khairul orang pun mak",
kata Khairul tanpa menyedari jarinya sudah melekat sekali lagi menggaru
kulit kepala yang tidak gatal. Ibunya tersenyum melihat gelagat anak
kesayangannya itu.
"Nanti khairul dah besar nanti, Khairul fahamlah tu", kata ibunya.
Beberapa hari selepas itu,
berlakulah satu peristiwa yang tidak dapat dilupakan Khairul sampai
sekarang. Sudah menjadi kebiasaan Khairul dan kawan-kawannya bermain
'kad tepuk'. 'Kad tepuk' ini merupakan sebuah permainan kanak-kanak yang
berbentuk perjudian. Dengan berbekalkan duit syiling 10 sen, sepapan
kad yang mempunyai pelbagai gambar di depan dan nombor kad terup di
belakang dibeli.
Apabila hendak bermain, setiap pemain dikehendaki bertaruh sebanyak beberapa keping kad. Apabila 'line clear',
atau tiada guru, maka berlaku pertandingan tepuk-menepuk antara mereka.
Setiap kad yang bejaya diterbalikkan angin hasil tepukan, menjadi milik
kekal penepuk itu. Nah, inilah bentuk-bentuk perjudian halus yang
dilakukan Khairul. Tapi ketika itu, Khairul tidak tahu definasi sebenar
judi kerana dia masih kanak-kanak. Malam itu, seperti biasa, ibunya
ingin menyemak hasil pembelajarannya di sekolah. Tapi, kad hasil
kemenangan tadi yang dijumpai.
"Aduh, habislah aku. Lupa pulak nak simpan tadi," Khairul bermonolog sendirian.
"Khairul! Apa benda ni?," tanya
ibunya dengan nada marah sambil menunjukkan kad itu kepada Khairul.
Khairul hanya mampu menunduk.
Lantas ibunya bangun mengambil
sebatang rotan yang sederhana saiznya tapi besar impaknya dalam hidup
Khairul. Jantung Khairul berdegup kencang bagaikan enjin motor ayahnya
kerana takutkan rotan itu.
"Tahu tak apa ni?," tanya ibunya.
"Kad judi," jawabnya.
"Selama ni mak hantar pergi sekolah suruh belajar bukan suruh main benda ni. Tadah tangan cepat!", perintah ibunya.
Maka tangan Khairul pun dicium rotan itu tanda sayang seorang ibu yang ingin membentuk anaknya menjadi anak yang soleh.
"Ingat, mak nak Khairul jadi orang, bukan binatang", kata ibunya.
Tapi Khairul yang masih kecil ketika itu masih tidak memahami maksud ibunya. "Khairul memang orang. Bukan binatang", dia bermonolog sendirian tanda protes tapi dalam diam sahaja.
Sejak kecil lagi Khairul sudah
diterapkan dengan nilai-nilai Islami. Khairul dipaksa pergi ke surau
sebelum masuk waktu, membaca Al-quran setiap hari, dan macam-macam lagi.
Tujuannya hanya satu, untuk melatih Khairul menjadi 'orang'. Pada
mulanya Khairul tidak suka diperlakukan sedemikian rupa tapi pabila dia
sudah biasa, Khairul merasa halawatul iman dan jatuh cinta kepada Islam dan Penciptanya.
Alhamdulillah, Khairul telah
mendapat keputusan cemerlang dalam UPSR dan ditawarkan ke SMKA Kerian.
Maka, dia terus dilatih menjadi insan yang lebih baik daripada
sebelumnya.
"Jadikan hari ini lebih baik daripada semalam dan hari esok lebih baik daripada hari ini."
Itulah perinsip yang dipegang
Khairul. Semakin hari, dia semakin memahami maksud kedua orang tuanya
iaitu menjadi 'orang', bukan 'binatang'. Setiap hari, Khairul terus
berusaha untuk majukan dirinya dengan mengimbangkan ketiga-tiga perkara
ini, iaitu jasmani, akal dan roh. Dia bermain setiap petang, berusaha
dalam pembelajarannya dan beribadah dengan istiqamah. Dia ingin bertawazzun (mengimbangkan) ketiga-tiga perkara ini supaya dirinya menjadi seorang muslim yang berjaya.
Tahun demi tahun berlalu,
Khairul telah mendapat keputusan yang cemerlang dalam PMR. Pada suatu
ketika di satu per tiga malam,dia berkhalwat seorang
diri sambil bermuhasabah diri. Dia mengimbau kenangan dan dosa yang
terdahulu lalu teringat pesan kedua orang tuanya yang mahukan dia
menjadi 'orang'.
"Abah, mak, Khairul dah berjaya
jadi 'orang'. Terima kasih banyak-banyak abah, mak, sebab didik
Khairul. Khairul akan berusaha bersungguh-sungguh untuk berjaya dunia
akhirat. InsyaAllah." Khairul bermonolog sendirian sambil menitiskan air
mata lantas berdoa.
''Ya Allah, ampunilah dosa-dosa kedua ibu bapaku dan kasihilah mereka sepertimana mereka mengasihiku sewaktu aku masih kecil''.
Glosari :-
- monolog : dialog dengan diri sendiri
- halawatul : kemanisan
- istiqamah : berterusan
- khalwat : duduk bersendirian
This entry was posted on 8/14/2010 05:38:00 PTG
and is filed under
Dari Forum Ikutan
.
You can follow any responses to this entry through
the RSS 2.0 feed.
You can leave a response,
or trackback from your own site.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)

0 comments:
Catat Ulasan